Friday, December 24, 2010

Berapa Harga????

Isu harga arnab dilihat semakin diperkatakan oleh kebanyakkan penternak arnab. Ini berikutan adanya penternak yang mampu menawarkan dengan harga yang lebih baik atau dengan kata lainnya harga lebih murah.

Sekiranya mengikut teori ekonomi, harga ditentukan mengikut penawaran dan permintaan. Sekiranya permintaan tinggi tetapi bekalan kurang, ia bakal meningkatkan harga dan begitu juga sebaliknya. Harga juga boleh ditentukan sendiri oleh pengeluar (dalam isu ini penternak arnab) berdasarkan kos menghasilkan produk dan margin keuntungan yang ingin diperolehi.

Di Kelantan, penawaran anak arnab untuk peliharaan semakin meningkat. Ini sedikit sebanyak memberi kesan kepada penternak untuk mendapatkan pasaran tempatan. Namun ia diimbangi oleh kos semasa yang rendah. Tidak hairanlah sekiranya harga arnab di sini dijual dengan harga yang murah.

Secara positifnya, isu harga ini patut diambil kesempatan oleh peniaga arnab di negeri lain. Dapatkan arnab harga murah di Kelantan dan pasarkan di tempat masing-masing. Harga arnab yang murah ini juga merupakan satu penanda yang baru untuk penternakkan arnab. Arnab yang semakin banyak diternak boleh mula dipasarkan dalam bentuk yang lain. Mungkin cita-cita En. Fahmi(arnabkiut) memulakan industri burger boleh dimulakan. Penternak arnab tidak boleh lagi mengharapkan pasaran untuk hiasan dan peliharaan semata.

Kesepakatan juga boleh dibuat dengan mewujudkan jaringan perniagaan. Ada yang hanya memelihara dan membiakkan arnab, ada yang bertindak memasarkan arnab, ada yang mengusahakan daging arnab serta pelbagai produk hiliran arnab yang lain.

Oleh itu, buat semua penternak arnab, jom kita kearah yang seterusnya.......


Wednesday, December 15, 2010

Makanan Kucing Bukan untuk Arnab

Di rumahku, terdapat beberapa ekor arnab yang aku berikan keistimewaan. Mereka dilepaskan bebas di luar sangkar. Bebas untuk makan disekitar rumah, merayap, membaja. Tambahan pula, telah menjadi suatu keasyikan bagiku disetiap waktu lapang, melihat telatah mereka.

Turut bebas bersama arnab-arnab ini ialah Leeya, si kucing. Makanan mereka memang aku letakkan tersedia. Sebekas makanan kucing untuk Leeya dan sebekas lagi pelet arnab. Arnab-arnabku ketika itu masih kekal dengan diet asal mereka selaku herbivor. Namun beberapa hari lepas, aku mula terperasan, ada diantara arnab aku mula menukar diet mereka. Makanan Leeya habis sekelip mata dikerumun mereka. Mulanya aku tak kisah. Yang terpikir cuma satu, pertambahan budget untuk makanan kucing.

Petang semalam baru terlintas dibenak kalbuku, selamat atau tidak arnab makan makanan kucing. Jadi internet lah tempat rujukannya.

Bahaya. Itulah kesannya makanan kucing sekiranya dijadikan diet utama untuk arnab. Makanan kucing ataupun anjing disediakan khas untuk haiwan karnivor. Ia mempunyai kandungan lemak dan juga protein yang tinggi dan tidak sesuai untuk haiwan herbivor seperti arnab. Walaupun dengan memakan makanan kucing atau anjing dalam jumlah yang kecil tidak menunjukkan sebarang tanda masaalah, namun dalam jangka panjang ia memberikan kesan kepada arnab.

Kandungan protein yang tinggi akan merosakkan buah pinggang arnab. Kesan sampingan yang lebih teruk bagi arnab yang makan makanan kucing atau anjing ialah ganguan kepada flora dalam sistem pencernaan arnab yang boleh membawa kepada masaalah pencernaan dan juga kematian.

Jadi sebagai pengajaran, jauhkan makanan kucing atau anjing anda daripada arnab.