Saturday, December 24, 2011

Selamat Tahun Baru

Lapan bulan, sekiranya kurang hanyalah beberapa hari. Betapa lamanya kepala otakku beku untuk update blog ini. Begitulah setiap perkara apabila mula ditinggalkan agak sukar dimulakan semula. Sebab itulah Nabi Muhammad SAW menyeru umatnya supaya istiqomah dalam melakukan setiap perkara.

Dalam beberapa bulan kebelakangan ini, masa kurasakan terlalu cemburu kepadaku. Masa terluang dan masa cutiku banyak dihabiskan di kampung. Dengan kesihatan Ibu yang tidak berapa baik sebelum ini membuatkanku lebih banyak meluangkan masa untuk beliau. Bakti-bakti terakhir untuk ku berikan sebelum beliau kembali ke sisi Allah SWT. Namun aku terpaksa akur dengan ketentuan Ilahi apabila beliau dijemput mengadapnya ketika aku mengikuti misi sukarelawan ke Kemboja. Ya Allah... berilah rahmat dan keampunan kepada ibuku. Ampunkanlah dosa ibuku, berikanlah rahmatMu kepadanya sebagaimana dia memeliharaku semenjak aku kecil.

Arnab yang di pelihara masih lagi seperti biasa, ahlinya kekal dengan bilangan sedia ada. InsyaAllah tumpuan akan kembali diberikan.

Wednesday, May 4, 2011

BEKU!!!!!

Begitulah apa yang berlaku semenjak dua ini. Banyak perkara berkaitan arnab yang terpaksa ku bekukan. Tiada kelahiran baru, almaklumlah semua induk jantan aku pisah-pisahkan. Kenapa??? Memang menjadi perancangan. Segalanya disebabkan rumah yang dibina telah siap. Hanya menunggu waktu dan ketikanya untuk pindah.

Sebenarnya aku cukup malas untuk berpindah rumah. Kalau bukan kerana berpindah ke rumah sendiri tidak maunya aku pindah. Banyak tenaga dan masa yang dipakai. Nasib baik kaum kerabat ramai. Dapat juga diringankan beban yang ditanggung.

Selama ini banyak perancanganku dalam penternakan arnab yang terbantut. Semuanya gara-gara tinggal menyewa. Dirumah sendiri InsayaAllah segalanya bakal menjadi lancar dan sempurna. Tambahan pula dengan sokongan isteri tercinta, satu ruangan khas telah disediakan di bahagian tepi rumah untuk menempatkan sangkar-sangkar arnab yang dipelihara. Apa yang diharapkan bukan sahaja kami yang selesa, namun arnab peliharaan turut sama mengecapinya.


Wednesday, March 30, 2011

Penternakan : Pertanian Satu perniagaan/ Bertani satu Ibadah

Sebagai salah satu seruan untuk keluar dari kepompong kemiskinan, kerajaan Kelantan telah mempelopori slogan "Bertani Satu Ibadah". Amat pasti banyak yang dilakukan kerajaan negeri yang membantu rakyat kelantan dari sudut pertanian. Antara progaram yang berjaya merupakan program "Ladang Rakyat" beserta kejayaan kerajaan Kelantan membangunkan Tanah Tinggi Lojing sebagai jelapang makanan.

Penternakan juga mampu menjana pendapatan tambahan. Selaku penternak arnab, sekiranya dihitung, ia sedikit sebanyak memberikan sumbangan kepada pendapatan. Selain melalui jualan yang boleh dilihat kepingan ringgitnya, ia turut membantu mengurangkan kos belanja dapur. Apa tidaknya, dengan harga ayam setinggi RM8 sekilo kos itu berjaya diatasi dengan menyembelih beberapa ekor arnab dipelihara. Selain menjimatkan kos, dapat pula kami sekeluarga santap daging arnab yang enak serta tinggi khasiatnya.









Sunday, February 27, 2011

Krisis makanan II + Pembunuhan beramai-ramai + Gemparrrrr

Hari ini genaplah 2 minggu arnab peliharaan menjadikan pelet kambing sebagai santapan utama. Harapanku untuk melihat arnabku mengembek gagal. Bukan apa, mesti mahal harga arnab yang boleh mengembek. Tambahan pula bukan senang nak dengar bunyi arnab.

Stok pelet arnab kembali ada di pasaran. Namun bagaikan dijangka harganya meningkat lagi sebanyak RM1. Begitulah resam dinegara 1Malaysia. Kenaikan harga akan dimulakan dengan ketiadaan stok pada mulanya. Tambahan pula sempena tahun arnab ini makin ramai yang memelihara arnab. Bagi yang mula berjinak jinak arnab, selamat datang ke dunia penternakan arnab aku ucapkan.

Hari ini juga suatu perkara yang mengejutkan berlaku dirumahku. Sadis dan menyayat hati. Bagaikan meruntun kalbu. Kembali kerumah aku dikejutkan dengan 4 ekor anak kucing mati bergelimpangan di tempat parkir. Badan mereka semua penyek. keempat-empat merupakan anak kepada Liya kucing bengal kesayangan. Semuanya berpunca dari kesilapanku. Ketika aku keluar, anak-anak kucing tersebut tidur dibawah kereta, betul-betul dibawah tayar. Jadi korang sendiri boleh bayangkan bagaimana yang berlaku.




Monday, February 14, 2011

Krisis Makanan

Setahun dua ini menyaksikan dunia menghadapi pelbagai krisis. Peperangan, bencana alam, politik dan wabak penyakit membuatkan manusia sedikit kurang aman. Rentetan daripada segala krisis ini membawa kepada krisis yang agak membimbangkan; Krisis Makanan.

Kita dapat lihat dimana krisis makanan yang berlaku di negara kita. Bermula dengan krisis gula. kemudian diikuti dengan krisis bawang, hinggakan kelapa dan santan juga tidak terkecuali. Terbaru krisis minyak sawit. Pihak kerajaan menyatakan bahawa ketiadaan bekalan berpunca dari masaalah bencana alam yang menjejaskan pengeluaran di beberapa negara. Tapi bagaimana dengan minyak sawit???? Teruk sangatkah bencana di Malaysia???

Segala macam krisis ini memberi kesan yang agak parah kepada kehidupan rakyat. Tambahan pula, pelbagai kajian yang dibuat menyatakan 80 peratus dari pendapatan isirumah rakyat Malaysia digunakan untuk makanan sahaja.

Bagi penternak arnab, apa kaitan segala macam krisis ini untuk kita. Kita perlu melihat dari sudut peluang dan juga kesan. Peluangnya ialah kita selaku penternak, apa yang kita usahakan merupakan salah satu daripada punca makanan. Kecualilah bagi mereka yang tak makan arnab. Apa kiranya kita ambil sedikit daripada pasaran daging lembu dan ayam. Begitu juga dengan mengusahakannya sebagai haiwan peliharaan, turut bakal memberikan pendapatan.

Kesan negatif krisis makanan ini terhadap kita pula di sudut sumber makanan untuk arnab. Banyak kandungan bagi menghasilkan pellet arnab mahupun makanan ternakan lain diimport dari luar negara. krisis yang berlaku memungkinkan kekurangan bahan-bahan ini. Adakah ini bermakna kita akan sekali lagi mengalami masaalah makanan untuk arnab beserta peningkatan harga berikutan peningkatan jumlah arnab yang dipelihara. Maklumlah sekarang kan tahun arnab.

Krisis makanan arnab sudah aku rasakan. Bermula dengan peningkatan harga sebanyak 50 sen 3 bulan lepas untuk seguni (20KG). Terbaru stok pelet arnab yang kehabisan di pasaran. Bila ditanya bila akan sampai, tokey kedai sendiri tidak berapa pasti kerana katanya stok bukan sahaja habis di kedai beliau, malahan stok pembekal utama kelantan juga kehabisan. Takkan aku nak round seluruh kelantan cari pelet arnab. Takkan hari-hari nak cerut rumput. Sakitnya kepala!!!!!!

Makanan untuk lembu, kambing bertimbun di kedai tersebut, pelet arnab sahaja yang tiada. Syukurlah, Allah menganugerahkan akal untuk manusia termasuk aku. Tiada rotan akarpun berguna, pelet arnab tiada, pelet kambing ada. Harga pun tiada beza. Bezanya setakat saiznya yang sedikit pendek dan kandungan nutrien yang tidak dilabel. Apa yang penting arnab peliharaan tidak kebuluran. Tak apalah arnab-arnab sekelian... makanlah apa yang ada. Maka bermulanya 14 Februari 2011, arnab peliharaanku makan pelet kambing.

Sunday, January 9, 2011

Rezeki Banjir

Sekadar berkongsi pengalaman disaat banjir pusingan ketiga melanda negeri tercinta. Aku yang tinggal berhampiran sungai mengambil peluang dari air yang melimpah.


Pemandangan banjir dari belakang rumah.



Rezeki dari menjaring.



Ikan lampan masak lemak. Sedap woo.....



Tambahan rezeki. Telur angsa baru menetas. Ada yang berminat????